Tuesday, October 14, 2014

Sinopsis Penuh Setitis Kasih Darmia, Ratu TV9 (2014)








Shaarnaz Ahmad berdendam dengan Nelydia? Adakah kerana sakit hati kerana

pernah dituduh menjadi pemusnah cinta di antara Nelydia dan Qi Razali dahulu, Sharnaaz ingin

membalas dendam? Betul, tak dinafikan Sharnaaz ingin membalas dendam tetapi itu hanyalah watak

yang perlu dijayakan oleh Sharnaaz dalam drama bersiri terbaharu di slot Ratu TV9 iaitu Setitis Kasih

Darmia. Dalam drama bersiri 14 episod ini, Shaarnaz yang membawakan watak sebagai Khairul

Amir, berdendam dengan Darmia yang dilakonkan oleh Nelydia Senrose kerana memerangkapnya

sehingga mereka terpaksa berkahwin walaupun hakikatnya Darmia sendiri tidak rela dengan

perkahwinan itu. Drama ini yang diarahkan oleh Jamal Khan dan diterbitkan oleh Pena Creative

Sdn Bhd akan mula bersiaran menerusi Slot Ratu bermula 14 Oktober ini pada setiap hari Selasa

dan Rabu, jam 8.30 malam. Selain dari itu, penonton juga boleh menyaksikan siri ini seminggu awal

melalui tonton premiere mulai 8 Oktober 2014.


Setitis Kasih Darmia adalah sebuah drama adaptasi daripada novel nukilan Naniey TJ, mengisahkan

kehidupan gadis bernama Darmia yang kehilangan kasih ibu dan terjebak dengan perkahwinan

tanpa rela dan tidak pernah diduga apabila terpaksa menikahi lelaki yang tidak pernah dikenalinya.

Lelaki yang bernama suami meninggalkannya kerana maruahnya tercalar. Mujur ada Opah (Fauziah

Nawi) dan Haliza (Zaryn Minn), sepupu yang memahami keadaanya sementara keluarganya yang lain

mencemuh dan membenci dirinya. Tawaran untuk menyambung pelajaran membuka lembaran baru

buat Darmia apatah lagi ditawarkan untuk bekerja sambilan oleh Haliza. Dia melanjutkan pelajaran

sambil bekerja separuh masa sebagai orang gaji di rumah majikan Haliza, Khairul Amir. Tanpa

Darmia ketahui, Khairul Amir adalah suami yang pernah meninggalkannya empat tahun lalu. Oleh

kerana dia bekerja di siang hari, dia tidak pernah bertemu dengan Khairul Amir sehinggalah satu hari

mereka bertemu lalu tersingkaplah rahsia antara mereka berdua.


Menyingkap kejadian empat tahun lalu, Darmia dan Khairul Amir pernah bernikah akibat ditangkap

khalwat setelah Amir cuba menyelamatkan Darmia dari menjadi mangsa rogol. Amir yang merasakan

dirinya dipergunakan telah meninggalkan Darmia sejurus selepas dinikahi dan tidak pernah kembali

lagi. Lelaki itu muncul dengan dendam yang tidak pernah dilupakan. Rahsianya harus disimpan

sebaik mungkin. Buatlah apa sahaja pada dirinya, Darmia rela agar Haliza tidak disakiti. Dalam

benci datang kasih. Jauh Darmia pergi, semakin kuat Khairul Amir mengejar. Setitis Kasih Darmia

memaparkan nilai kesabaran dan kekuatan Darmia dalam mengharungi pelbagai ujian demi

pertahankan kebahagiaan hidupnya.


Gandingan mereka berdua pastinya membuatkan penonton merasa teruja untuk menyaksikan

kesudahan kisah kasih Darmia dan Amir yang penuh liku dan halangannya. Setitis Kasih ini turut

membariskan ramai lagi pelakon hebat seperti Zarynn Minn, Josiah Hogan, Puteri Chichi, Azizah

Mahzan, Fauziah Nawi, Liza Abdullah, Kazaruddin Saisi, Dato Jalaluddin dan Ziela Jalil.

No comments:

Post a Comment

Sales Shopping Expo Event In Malaysia